Total Pageviews

Monday, April 20, 2015

Asnaf miskin tolak pemberian RM100

Sebagai Naib Pengerusi JKuasa Surau Raudatul Ikhwan Kampung Padang Ubi,  ada beberapa masalah yang saya cuba atasi. Antaranya masalah kebersihan surau. Walau bagaimanapun pengurusan surau ini berbeza sedikit dengan pengurusan masjid yang mempunyai sumber pendapatan tetap dan petugas ( siak ) yang dibayar elaun.
Dalam mesyuarat AJK baru-baru ini saya telah mencadangkan supaya dicari seorang petugas untuk melakukan kerja-kerja pembersihan secara berkala dengan sedikit bayaran saguhati. Surau tidak mampu membayar elaun tetap kerana surau tidak mempunyai sumber kewangan yang tetap seperti masjid. Sumber yang ada hanyalah derma orang ramai dari semasa ke semasa sahaja.
Saudara Md Zaki selaku bendahari telah menemui Puan Hamidah Che Din seorang ibu tunggal yang tidak mempunyai pekerjaan tetap dengan jumlah tanggungan yang masih ramai untuk membantu melakukan kerja-kerja pembersihan. Beliau bersetuju dan faham dengan penerangan Md Zaki. Saya lega apabila diberitahu akan hal itu kerana pada saya sekurang-kurangnya pihak surau dapat membantu meringankan sedikit kesusahan hidupnya.
Selepas itu setiap kali saya ke surau menunaikan solat saya dapati sudah ada peningkatan kebersihan . Tahi cicak, sawang, sampah, susunan sejadah sudah nampak bersih dan teratur. Malah sejadah yang sudah sekian lama digunakan telah dibasuh bersih. Alhamdulillah.
Saudara Md Zaki telah ke rumahnya untuk menyampaikan saguhati sebanyak RM 100.00 tetapi ditolaknya dengan beberapa alasan. Saudara Md Zaki berlalu pergi meninggalkan sejumlah wang tersebut. Beberapa hari selepas itu saudara Md Zaki telah ke rumah puan Hamidah sekali lagi untuk urusan lain. Beliau diminta tunggu sekejap di luar dan Puan Hamidah masuk ke dalam rumah dan keluar semula dengan menyampaikan semula wang kertas RM100.00 tersebut. “ambillah wang ini, bukan kakak sombong tak mau menerima pemberian, tapi kakak rasa tenang setiap kali kakak membersihkan surau. Tambahan pula selepas kakak membersihkan surau tempuh hari jiran kakak telah menawarkan kakak untuk menoreh di kebun getahnya. Alhamdulillah. Kakak syukur sangat-sangat. Lagi pun kakak memang menerima barang-barang dapur pemberian Pejabat Zakat”.
Hal ini diberitahu oleh saudara Md Zaki kepada saya. Saya gumam sebentar. Saya sedar belaiu memang mendapat barangan keperluan asas tetapi beliau juga memerlukan sedikit wang tunai untuk keperluan lain. Ahhhh rupa-rupanya ‘orang-orang kecil’ tidak haloba wang seperti ‘orang besar’. Sedikit sudah disyukuri. Allahhuakhbar.

Saya telah meminta saudara bendahari sampaikan juga sumbangan kepada beliau mengikut keperluannya.


No comments:

Post a Comment