Total Pageviews

Sunday, December 11, 2011

BILA KUINGAT, BILA KUKENANG

Sebenarnya tidak banyak yang saya ingat tentang masa silam saya. Tidak seperti sesetengah orang yang masih bercerita tentang masa silam mereka secara terperinci. Ingin sekali saya berbuat demikian tetapi tidak banyak memori yang terakam. Agaknya mungkin kerana perjalanan hidup saya yang agak mendatar pada masa itu menjadikan tiada peristiwa menarik untuk dikenang. Walau bagaimanapun saya akan cuba merakamkan dalam bentuk literasi apa-apa yang saya ingat sekarang ini kerana yang ada itupun juga mungkin akan terpadam jua sedikit masa lagi.
Seingat saya, rumah kami terdiri dari 4 bahagian. Ibu rumah, ruang tengah, dapur dan pelantar. Ibu rumah itu merupakan rumah asal yang dibina oleh almarhum Tok Wan Tok Lebai Hussin sekitar tahun 1953. Berukuran lebih kurang 18' X 16' ia adalah ruang utama; tempat menerima tetamu, tempat kami belajar dan menyiapkan kerja sekolah dan tidur juga di situ. Mengikut cerita emak tok wan mengambil masa hampir setahun untuk menyiapkan rumah tersebut yang upahnya dibayar sedikit-sedikit dan pukalnya dengan membeli lembu untuk dibuat kenduri perkahwinan Chu Teh ( adik emak ).
Ibu rumah tersebut walaupun dibina dengan bahan binaan dari hutan tetapi sangat kemas buatannya kerana almarhum tok wan seorang tukang yang mahir. Berdasarkan cerita-cerita dari mulut emak, almarhum tok wan bukan sekadar seorang tukang, juga orang seni ( seniman ). Almarhum tok wan mengambil bahagian dalam pameran-pameran yang diadakan oleh jabatan-jabatan kerajaan pada ketika itu. Masa itu orang kampung panggil 'show'. Tok wan pernah membuat replika rumah melayu, replika aktiviti pertanian ( kini dikenali sebagai diorama ) dan mendapat perhatian dan pujian orang ramai. Beliau mengambil masa berhari-hari menyiapkan satu-satu kerja tangannya itu. Suatu ketika pada tahun 1978 saya pernah ke rumah seorang kawan di Kg.Gelugur, Sedim. Ketika di rumahnya, bapanya telah bertanya dan saya memperkenalkan diri sebagai cucu Lebai Hussain dan orang tua itu terus menceritakan yang masjid dan rumahnya juga hasil kerja tok lebai Hussain. Ketika menyiapkan rumahnya, almarhum tok wan dijemput sebagai tukang jemputan selama 10 hari bagi mengemas dan mencantikkan bahagian-bahagian tertentu dan rumahnya kukuh berpuluh tahun lamanya. Saya bangga memperkenalkan diri sebagai cucunya !
Tiang ibu rumah kami adalah dari kayu bulat yang ditebang sendiri oleh almarhum ayahanda Hashim dari kawasan hutan sekitar Bukit Hijau sebelum tamat perkhidmatan sebagai Special Constable SC di Ladang Pelam ( Malau ). Di Kg. Padang Ubi hanya ada beberapa buah rumah sahaja yang bertiang bulat. Tiang tersebut tahan hingga ke hari ini. Beberapa belas tahun yang lalu, ada seorang tukang rumah yang bertanya saya jenis kayu yang dibuat tiang itu. Saya mengaku, saya tak tahu. Kayunya lembut, bewarna kekuning-kuningan seperti kayu halban tetapi tidak dimakan anai-anai atau reput dimakan air. Kata tukang tersebut hanya tukang yang benar-benar kenal jenis kayu sahaja yang memilih kayu itu kerana mudah dikerjakan dan tahan lama. Selepas bertanya kepada beberapa orang tua di kampung barulah saya tahu yang kayu itu dari pokok 'serai' ( sebut : e taling )
Ruang tengah buatannya agak ringkas. Di sini kami guna untuk mengaji dan mengajar Al-Quran. Juga sebagai tempat tidur. Tidur ketika itu tidak bertilam hanya beralas tikar mengkuang dan sebiji bantal sahaja. Itupun sudah cukup membuatkan tidur nyenyak sampai ke pagi. Antara cucur atap ibu rumah dan ruang tengah ada palung air. Palung air ini yang sering menjadi masalah setiap kali hujan lebat. Air akan mencurah masuk ke dalam rumah menyebabkan tempat mengaji kami kebasahan.
Seperkara yang kekal ke akhirnya ialah kain pelapik tiang ( warna, putih, kuning dan merah ) antara kayu alang dengan tiang. Itu mengikut adat orang dulu-dulu mendirikan rumah. Saya sudah tidak ingat mengapa pilihan warna tersebut tetapi pernah mempelajarinya semasa di maktab dulu.
Dapur agak sempit. Ruang dapur dengan ruang tengah pisahkan oleh bendul. Dari situlah saya belajar mengenal peribahasa 'betul bentul' dan 'langkah bendul' semasa di sekolah rendah. Seperti dapur-dapur rumah kedah, mesti ada para. Para ini tempat meletak buyung ( labu ) air minuman, dan suaut yang menjadi kesukaan saya pada masa itu ialah naik duduk di atas para itu senyap-senyap sambil membancuh air gula dan meminumnya puas-puas dan paling sedap gula lebihan bancuhan yang lembik itu. ( nasib baik tak kena diabetis pada masa tu ).
Pelantar pula ialah ruang lantai tidak berdinding yang menjadi tempat meletak tempayan atau baldi berisi air yang diangkut dari telaga untuk kegunaan pada waktu malam. Pelantar juga menjadi tempat membuat kerja-kerja kasar seperti menyiang ikan, merendam baju dan sebagainya.
Binaan rumah kami agak tinggi ; setinggi 4 kaki lepas untuk menyimpan basikal dan berteduh ketika hujan. Walau bagaimanapun awal tahun 1970-an rumah tersebut telah diangkat sedikit lagi kira-kira 1 1/2 kaki lagi bagi membolehkan pembinaan dapur simen yang baru.
Rumah kami mengalami beberapa kali pengubahsuaian dan saya kira paling kerap diubahsuai berbanding dengan rumah-rumah lain di Kg.Padang Ubi.
Di halaman rumah ada sebatang pokok rambutan yang buahnya agak besar tetapi kurang manis. Pokok tersebut dibiarkan di situ sebagai tempat berteduh dan dengan pasir halaman yang memutih, di situlah menjadi berbagai gelanggang kami. Dari acara piala thomas, all england, pesta bola merdeka hinggalah 'sukan olimpik Munich German' semua berlangsung di situ. Satu pusingan rumah dikira sama dengan satu pusingan stadium. Di belakang rumah ada sebatang pokok nangka dan di bawahnya terdapat pasir yang tebal. Di situlah menjadi gelanggang padang seperti long jump, triple jump, shot put dan high jump. Memang sejak dulu kami menyebut acara-acara tersebut dalam bahasa inggeris. Sebab itulah kot acara olimpik boleh dijalankan di situ.
Tiada yang kekal di dunia ini kerana yang kekal hanyalah Zat Allah SWT sahaja. Begitulah rumah kami meski saya berusaha mempertahankannya, namun masa dan keadaan menentukan sebaliknya. Saya terpaksa melepas nostalgia masa silam demi tuntutan semasa. Saya perlu realistik saya tidak terus hidup dalam nostalgia. Pada Januari 2008 ibu rumah kami terpaksa dikorbankan.

Friday, September 9, 2011

Biarlah setiap hari menjadi Ramadhan

Bukankah lebih senang begitu
berbaring, berdiri, berjalan
bekerja dalam akur patuh
kepada-Mu
Lebih senang begitu
ketika perut tidak berisi
suara menjadi tidak tinggi
Ego tidak mampu berdiri
nafsu menjadi mati
Kukira lebih senang begitu
lebih senang menghampiri-Mu
dalam syiamku
dalam sujudku
dalam tilawahku
dalam khidmatku
dalam infaqku
kerana benar-benar
kerana-Mu
Jika benar-benar begitu
Biarlah setiap hari menjadi Ramdhan


Thursday, September 8, 2011

RAMADHAN PASTI PERGI

Dia pasti pergi

kerana sunnahnya belum pernah diengkari

datang , pergi dan datang lagi serta pergi lagi

akulah yang menjadi sayu

pada perginya yang belum tentu bertemu lagi

pada saban pertemuan

yang sering memberi erti

perlukah aku ratapi

pada jalur-jalur hari yang pergi

juga pada catatan amal yang tidak penuh berisi

lagi aku menjadi tersiksa

pada nasib yang belum pasti

sunnahnya memang begitu

Ramadhan pasti pergi

atau akukah yang akan pergi dahulu.

SELAMAT MENYAMBUT HARI LEBARAN SEMUA

YANG PERNAH MENGISI INCI HATI INI

Mohon maaf

Minta maaf

Harap Maaf

zahir dan batin.

Monday, August 8, 2011

MULALAH SEGALA YANG PERLU BERMULA

Bermulalah

Segala yang perlu bermula

Bermulalah langkah

Dengan nama Tuhanmu

Yang Maha Mulia Maha Esa

Perjalanan ini tidak harus terhenti di sini

Kerana arus alur perjuangan

Akan terus mudik ke muara

Menelusuri alur perjuangan ini

Menuntutmu

Memahat niat bersimpal semangat

Memerah keringat

Bersepuh panas mentari

Kau jadi biasa.

Jeram dan liku

Batu dan kayu

Apa sahaja halangan

Kita rempuh sahaja

Kerana kita mahu sampai ke muara.

Jadilah

Apa saja yang kau perlu jadi

Jadilah mengikut kehendak Tuhanmu

Sungai perjuangan ini

Akan sampai ke muara jua

Muara yang ternganga

Jangan sangka tiada badai

Bayu lembut yang menyapa

Bertukar mengganas jbila-bila masa

Sungai perjuangan ini

Pasti Penuh dengan

Terumbu, karang

Ombak dan tsunami

Namun perjuangan

Tidak akan pernah terhenti

Melangkahlah

Dengan langkah pertama

Kerana tidak akan ada yang kedua

Kalau tiada yang pertama

Melangkahlah

Dengan penuh tenaga dan daya

Kerana perjuangan hakiki

Hanya akan terhenti

Apabila kita sampai

Ke garis mati.

Anak-anak

Berangkatlah

Apabila tiba masa berangkat

Memulakan perjalanan baru

Untuk kehidupan yang baru

Laman ini

Tempat kau bermain

Musim-musim yang lalu

Merakam gelak tawa

Senandung lagu suka duka

Pun meski kau pernah terjatuh dan terluka

Kita bebat bersama

Kita kesat airmata

Luka dan airmata

Menjadikan kita dewasa

anak –anak

jangan kau ulang

derita masa silam

kerana keringat yang telah tercurah

bukanlah murah

musim-musim kenangan berlalu

meninggalkan kawah-kawah rindu

pada padang permainan

dan dataran kehidupan

perjalanan mesti diteruskan

hentikanlah

mendendang lagu-lagu

duka lara

berzikir kalimat stanza cinta

meratip luka kecewa

perjalananmu tidak akan sampai kemana-mana

kau perlu bingkas

bangun menahan mendung berarak

menadah gerimis senja merah

menahan ribut merangkul badai

bangunlah

memasak azam baru

memugar ladang

memacak tiang

kerana perkampungan baru yang

kelak kau bina

asasnya adalah doa

tiangnya adalah usaha

bermulalah semua yang harus kau mula

jadilah apa saja yang mahu kau jadi

segalanya harus dari dalam dirimu sendiri

bangunlah

berangkatlah

dengan langkah yang pertama

dengan nama Tuhanmu

Asma Ul Husna

Baharon Hashim

Teratakayahanda

26072011

( Sajak ini dibaca bersama Cikgu Norlina Buang sempena Majlis Menggapai Bintang PPU 2011 )

Saturday, June 25, 2011

MENYUSUR DENAI KENANGAN

Semakin hari semakin ramai yang bertanya tentang keadaan sekolah sekarang. Perubahan prasarana, warga yang bertukar ganti. Guru-guru yang sudah lama bertukar diganti dengan yang baru. Bagi warga pelajar,sudah pasti sampai masanya , mereka akan meninggalkan gelanggang menuntut ilmu ini. Ada yang hanya sempat 3 tahun di sini, ada yang 5 tahun dan sekarang ada yang sudah sampai 7 tahun memugar kehidupan di sini.
Guru-guru yang sudah lama menabur jasa pergi meninggal kenangan di sini. Tempat jatuh lagikan dikenang, inikan pula tempat berbakti, mencari rezeki. Sesekali apabila ketemu mereka pasti akan menyuarakan "ah, indahnya ketika berada di bumi smklb !" Ada kala kita sama-sama ketawa gembira, ada kala kita masam mencuka, ada ketika marah membara dan yang indahnya ada ketika kita masih boleh ketawa ketika hati panas membara !
Pelajar-pelajar tidak kurangnya. Di sinilah mereka belajar menulis membaca membuka minda. Di sini juga mereka belajar menjadi insan. Di sini juga mereka belajar mencari CINTA ( sesetengahnya berjaya dan yang ramainya tidak kesampaian ) Ah, indahnya pada mereka yang menemui cinta bahagia mereka !
Saya bukan pelajar sekolah ini, tetapi tempoh perkhidmatan saya agak lama di sini. Menyaksi warga sekolah datang dan pergi. Pelajar silih berganti. Bermula dengan bangunan pertama didirikan sampailah seperti wajah hari ini.

Sunday, June 19, 2011

BERSOLAT DI TEMPAT AWAM


Jika anda di dalam perjalanan di lebuhraya atau berada di pusat-pusat beli belah dan singgah di surau / musolla ketika masuk waktu solat, pasti anda akan dapati keadaannya penuh sesak. Ini satu petanda yang baik. Petanda kesedaran dan kebangkitan Islam khusus dalam kalangan generasi muda.Dari yang kecil berusia 5 tahun hinggalah yang dewasa dan warga emas berpusu-pusu menunaikan tanggungjawab masing-masing. Alhamdulillah. Surau lelaki, penuh. surau perempuan juga penuh.

Saya ingin menarik perhatian orang ramai pada 2 isu. Isu yang pertama mengapa dalam ramai-ramai umat Islam yang mempunyai kesedaran untuk menunaikan solat tidak menunaikan solat berjamaah. Jarang-jarang sangat kita dapat berjamaah di surau pusat beli belah. Ramai yang datang bersolat, tetapi solat sendiri-sendiri. Sedih, dalam ruang solat yang sama masing-masing membaca Fatihah sendiri-sendiri, mengaminkannya sendiri-sendiri hatta berdoa pun sendiri-sendiri.Ya, mungkin ada yang bersolat tamam dan mungkin ada yang bersolat jamak. Jika begitu, seharusnya ada 2 kelompok jamah bersolat sahaja. Yang bersolat tamam, solat di bahagian hadapan dan yang bersolat jamak di sudut belakang. Bukankah solat berjamaah itu tuntutan besar dalam agama?

Dan Ibnu Mas`ud R.A, katanya:

"Sesiapa ingin berjumpa Allah pada hari kiamat kelak sebagai seorang muslim yang sejati hendaklah dia menjaga solat dan mengerjakannya sebaik azan dikumandangkan. Allah telah pun mensyariatkan kepada Nabi kamu ketentuan-ketentuan hidayah dan solat berjemaah termasuk daripada ketentuan-ketentuan tersebut. Jika kamu mengerjakan solat di dalam rumah kamu masing-masing, seperti halnya orang-orang yang meninggalkan solat berjemaah dan lebih mengutamakan solat di rumahnya sahaja, bererti kamu telah meninggalkan Sunnah Nabi kamu. Jika kamu meninggalkan Sunnah Nabi kamu, tentunya kamu semua berada dalam kesesatan. Aku tahu bahawa seseorang yang suka meninggalkan solat berjemaah itu adalah orang yang benar-benar munafik. Patut untuk kamu ketahui bahawa suatu ketika dahulu ada seseorang yang dipaksa supaya masuk ke dalam barisansolat berjamaah!"
(Diriwayatkan oleh Muslim)


Isu yang kedua ialah tabiat / sikap segelintir di dalam masyarakat kita yang tidak faham solat di tempat-tempat terhad ( surau lebuhraya , pusat beli belah dsb ) dengan bersolat di masjid-masid. Maksud saya mereka ini akan berwirid, berdoa panjang-panjang sesudah selesai bersolat , sedangkan di belakang mereka masih ramai yang menanti ruang kosong untuk membolehkan mereka menunaikan solat juga. Mereka tidak tahu atau mereka lupa bahawa dalam keadaan begitu berwirid dan berdoa itu sudah tidak sunat lagi. Memberi ruang untuk orang lain bersolat itu 'wajib'. Lekeh sangatkah bersolat tanpa berwirid panjang-panjang dan berdoa mendayu-dayu? Jika ya sekalipun berwirid dan berdoa itu boleh di buat dalam apa jua keadaan ( berjalan, duduk dan berbaring )

Jadi berilah kesempatan kepada saudara kita yang lain untuk mereka menunaikan tanggungjawab mereka sesegera mungkin. Wallahuaklam.

Saturday, June 18, 2011

AKU ANAK PEJUANG




Ayahku sebutir bara kecil
Meski tiasa cahaya
Gunanya masih dijaga
meski nyalanya tidak memusnah
Panasnya tetap terasa
ayahku sebutir bara kecil
Yang digenggamnya
agar jangan sampai padam
tika orang lain menyalakan listrik
tika orang lain memasang neon
ayah tetap menjaga baranya
kerana itu adalah perjuangan

Jika hari ini mereka berbicara tentang kuasa
jika hari ini mereka merai kemenangan
sebenarnya sudah tiada siapa yang percaya
itu semua atas jerih ayahanda



Friday, June 17, 2011

PERTEMUAN


Pertemuan ini boleh saja menjadi duka, lantas akupun menutup wajah dengan helaian malu agar kau tidak menyedari. perlukah aku terus berselindung di bawah bayang kenangan masa lalu meski mentari rekah menabur amarah. aku menjadi resah mencantum sisa-sisa rasa sayangku yang berbaki.
Apalah diharap pada kenangan yang kian pudar dan berwajah kusam. Sedang kita sendiri kehabisan kata-kata untuk memulakan bicara. Sungguh, aku menjadi resah pada pertemuan ini.
Jika esok ada sinar baru yang muncul dari celah-celah gumpulan aku hanya berharap dapat melihat seri sirna wajahmu dari kejauhan.

Thursday, May 12, 2011

PUISI HARI GURU


Kitalah pewaris anbiya

( Dedikasi untuk rakan-rakan guru )

Perjuangan ini telah begitu jauh

Sejauh perjalanan ummah

Pernah menuruni lurah

Pernah merentas puncak

Perjuangan ini telah ditandai

Dengan puing-puing

Sejarah manusia dan kemanusiaan

Melewati relung masa

Tak terjangkau

Tak terhitung

Sejarah perjuangan ini

Telah terlalu lama terakam

Dalam khazanah sejarah

Dan kita menyambung warisan

Perjuangan ini

Atas nama amanah

Atas nama tanggungjawab

Atas nama jihad

Keramat perjuangan ini

Semalam, hari ini, esok dan sampai bila-bila

Perjuangan ini telah begitu jauh

Membawa kita berlari

Menempuh padang dan belantara

Daratan dan pulau

Kampung dan kota metropolitan

Keramat panggilan ‘cikgu’

Kita pasrah menabur bakti.

Hari ini

Untuk kesekian kali

Kita tanam sebongkah niat

Kita pasak segungung hasrat

Kita membarui janji

Pada sucinya perjuangan ini

Kita berikan harapan baru

Kita nyalakan obor benderang

Mari kita betulkan pencak

Demi sebuah pertarungan

Mari kita susun derap rentak

Demi sebuah keamanan

Mari kita laungkan pada semua

Kesegenap penjuru benua

Tentang keimanan tentang peradaban

Tentang kemanusiaan

Tentang semua yang akan ditanya di sana

Terjawabkah kita?

Julanglah obor perjuangan

Jangan sampai padam

Perjuangan ini menagih setia

Menahan ombak membenteng pantai

Biar ribut biar badai

Biar halilintar membelah semesta

Setia kita tidak goyah

Perjuangan ini tidaK akan berakhir

Janji kita tidak akan mungkir

Berpantang patah

Berpantang undur

Namun kita tidak menyerah

Kerana kota yang akan dibina

Cerucuknya adalah kita

Kitalah pewaris perjuangan anbiya

Baharon Hashim

SMK Labu Besar, Kulim

04052011