Total Pageviews

Monday, April 20, 2015

Asnaf miskin tolak pemberian RM100

Sebagai Naib Pengerusi JKuasa Surau Raudatul Ikhwan Kampung Padang Ubi,  ada beberapa masalah yang saya cuba atasi. Antaranya masalah kebersihan surau. Walau bagaimanapun pengurusan surau ini berbeza sedikit dengan pengurusan masjid yang mempunyai sumber pendapatan tetap dan petugas ( siak ) yang dibayar elaun.
Dalam mesyuarat AJK baru-baru ini saya telah mencadangkan supaya dicari seorang petugas untuk melakukan kerja-kerja pembersihan secara berkala dengan sedikit bayaran saguhati. Surau tidak mampu membayar elaun tetap kerana surau tidak mempunyai sumber kewangan yang tetap seperti masjid. Sumber yang ada hanyalah derma orang ramai dari semasa ke semasa sahaja.
Saudara Md Zaki selaku bendahari telah menemui Puan Hamidah Che Din seorang ibu tunggal yang tidak mempunyai pekerjaan tetap dengan jumlah tanggungan yang masih ramai untuk membantu melakukan kerja-kerja pembersihan. Beliau bersetuju dan faham dengan penerangan Md Zaki. Saya lega apabila diberitahu akan hal itu kerana pada saya sekurang-kurangnya pihak surau dapat membantu meringankan sedikit kesusahan hidupnya.
Selepas itu setiap kali saya ke surau menunaikan solat saya dapati sudah ada peningkatan kebersihan . Tahi cicak, sawang, sampah, susunan sejadah sudah nampak bersih dan teratur. Malah sejadah yang sudah sekian lama digunakan telah dibasuh bersih. Alhamdulillah.
Saudara Md Zaki telah ke rumahnya untuk menyampaikan saguhati sebanyak RM 100.00 tetapi ditolaknya dengan beberapa alasan. Saudara Md Zaki berlalu pergi meninggalkan sejumlah wang tersebut. Beberapa hari selepas itu saudara Md Zaki telah ke rumah puan Hamidah sekali lagi untuk urusan lain. Beliau diminta tunggu sekejap di luar dan Puan Hamidah masuk ke dalam rumah dan keluar semula dengan menyampaikan semula wang kertas RM100.00 tersebut. “ambillah wang ini, bukan kakak sombong tak mau menerima pemberian, tapi kakak rasa tenang setiap kali kakak membersihkan surau. Tambahan pula selepas kakak membersihkan surau tempuh hari jiran kakak telah menawarkan kakak untuk menoreh di kebun getahnya. Alhamdulillah. Kakak syukur sangat-sangat. Lagi pun kakak memang menerima barang-barang dapur pemberian Pejabat Zakat”.
Hal ini diberitahu oleh saudara Md Zaki kepada saya. Saya gumam sebentar. Saya sedar belaiu memang mendapat barangan keperluan asas tetapi beliau juga memerlukan sedikit wang tunai untuk keperluan lain. Ahhhh rupa-rupanya ‘orang-orang kecil’ tidak haloba wang seperti ‘orang besar’. Sedikit sudah disyukuri. Allahhuakhbar.

Saya telah meminta saudara bendahari sampaikan juga sumbangan kepada beliau mengikut keperluannya.


Tuesday, January 13, 2015

KENANGAN DI SUNGAI RAWANG

Tahun ini tahun 2015 sudah 31 tahun saya berkerjaya sebagai seorang pendidik. Kerjaya saya bermula 2.1.1984 apabila sesi persekolahan tahun tersebut bermula. Tarikh tersebut juga saya melapor diri kepada Encik Solehan Remot Guru Besar Sek.Men.Sungai Rawang , Sepang. Ketika itu perasaan saya bercampur baur.
Apa tidaknya saya meninggalkan seorang anak saudara perempuan berusia 4 tahun yang sedang sakit tenat dan bertarung dengan maut ketika itu. Saya sendiri mencari berbagai ubatan dan berjumpa dengan berbagai tokoh perubatan tradisional untuk membantu mengubatnya. Saya menangis di atas motosikal ketika meninggalkan rumah dan kampung halaman. Bukan sedih kerana meninggalkan ayah dan mak serta kampung halaman ( kerana saya telah biasa meninggalkan mereka semua sejak saya tinggal di asrama sekolah dan maktab. Sedih kerana mengenangkan anak saudara yang sakit tenat.

Dari kampung saya di Labu Besar, Kulim saya bertolak ke stesen keretapi Bukit Mertajam untuk ke Kuala Lumpur. Dari KL saya menunggang motosikal ke rumah abang di Pelabuhan Klang. Keesokannya abang membawa saya ke Sepang untuk meninjau sekolah dan mencari rumah sewa untuk ditumpangi. Malangnya saya sampai waktu petang, tiada sesiapa di kawasan sekolah dan kebetulan masih dalam cuti sekolah jadi saya pulang hampa pada petang itu.

Keesokannya dengan menunggang motosikal saya meninggalkan rumah abang di P.Klang untuk ke SM Sg.Rawang dan ketika sampai saya bertemu dengan beberpa orang guru lama di sekolah tersebut seperti Kamarudin Wok ( skrg PK HEM di sekolah agama di Bandar K.Kangsar ), Sharif Sarmin ( skrg. Pengetua SMK Kubu Gajah Selama Perak ) sdr.Surani Radiyo ( PT sekolah ) dan cikgu Radzi ( allahyarham ).Mereka membenarkan saya menumpang rumah sewa mereka sementara mendapatkan rumah sewa yang baru.  Bagaimanapun saya kekal menyewa bersama-sama mereka selama setahun sebelum berpindah ke Kg.BT. 4 Sg.Pelek dan memberi laluan kepada guru-guru yang baru bertukar ke SMSR seperti  cg.Nasir ( dari MPPPP ) Cg.Sardi ( pindah dari Sabah – skrg.Pensyarah di Institut Pendidikan Islam Bangi )  cg Amir Adli dan Amir ( ?  dari Kapit Sarawak )

Guru baru penyapu baru ( itu kata-kata Cg.Solehan semasa membentangkan kertas kerja peningkatan prestasi akademik bertajuk “ Apa kami buat di Sg Rawang” di sekolah menengah Teluk Datuk ) ekoran peningkatan prestasi akademik yang di tinggi di dalam peperiksaan awam. ( Kertas kerja tersebut saya simpan dan bawa balik ke Kedah – malangnya hilang dalam simpanan )

Majoriti guru-guru Sg Rawang ketika itu adalah guru-guru baru lepasan maktab ( first posting ) penuh semangat dan tenaga pun banyak sebab tu apabila cg Solehan bari cadangan untuk buat sesuatu semuanya disahut.

Tugasan pertama yang saya dapat selepas beberpa hari melapor diri ialah menyediakan 4 buah goal post hoki kerana sekolah menjadi tuan rumah kejohanan peringkat daerah. Sebenarnya saya hanya biasa bermain hoki tetapi tidak pernah ambil kisah tentang undang-undang dan peraturan. Bermula dengan membeli kayu dan papan dari kedai hardware di kg. Ulu Chuchoh siang malam kami menyiapkannya. Sambil-sambil bertukang tiang gol itu jugalah saya membuat sebuah katil bujang untuk kegunaan saya sendiri. ( tahan lama juga )

Saya sangat terhutang budi dengan Cg.Solehan kerana sebagai ketua beliau tidak kedekut ilmu dan sentisa mengajak kami ‘bekerja bersama-samanya’. Yang saya ingat beberapa hari sahaja melapor diri di SMSR, saya telah mengikut Pengetua ke mesyuarat MSSD dan SMSR dipilih menjadi Pengerusi teknik pertandingan hoki daerah. Masalahnya ketika itu SMSR tidak mempunyai goal post hoki. Berbekalkan sedikit pengalaman bermain hoki saya dan beberapa orang guru lain telah membuat 2 set goalpost  ( 4 unit ) untuk kejohanan tersebut. Masa tu  belum ada internet jadi nak cari ukuran padang pun siksa juga. Pengalaman saya bermain hoki saja tak pernah ambil tahu pula ukuran padang hoki.

Sampai masanya kejohanan berlangsung dan saya menjadi empire untuk beberapa pertandingan. Ketika berlangsung pertandingan bawah 12 tahun ( sekolah tak ingat ) , tiba-tiba ada guru di luar padang mengadu pemain salah satu pasukan yang bertanding lebih seorang. Sedangkan sebelum memulakan pertandingan sebagai empire, saya telah mengira jumlah pemain dan cukup 11 orang. Entah masa bila pemain ‘hantu’ ini masuk bermain. Panik juga ketika itu tapi nasib baik Pertandingan hoki mempunyai 2 orang empire dan kami berbincang sebelum mengambil tindakan mengarahkan pemain hantu tersebut keluar padang.

Seperkara lagi ‘kerja gila’ yang saya dapat pengalaman di Sg.Rawang ialah projek membuat hadiah sukan  untuk kejohanan olahraga sekolah pada tahun itu. Berhari-hari kami guru-guru menyiapkan piala tersebut di bengkel seni perusahaan. Itulah pengalaman pertama dan terakhir kerana selepas itu tidak ada lagi orang yg sanggup buat kerja begitu. Hasilnya sangat berbaloi. Kalau tak salah saya bajet yang dijimatkan pada tahun tersebut telah digunakan untuk membeli seunit computer menjadikan SMSR sekolah pertama yang memiliki computer di daerah k.Langat Sepang.


Satu lagi idea hebat Cg.Solehan ialah projek membuat jentera mesin rumput bagi menggantikan mesin sorong yang digunakan oleh tukang kebun ketika itu ( Wak Ibrahim Sajadi, Wak Jais, Wak Torsiman, Wak Bajuri dan seorang lagi yang telah berpindah ke Kelantan ) Kisah Ciptaan ini telah disiarkan di dalam akhbar. ( sesiapa yg masih menyimpan keratan akhbar tersebut bolehlah kita kongsi semula ).