Total Pageviews

Sunday, December 11, 2011

BILA KUINGAT, BILA KUKENANG

Sebenarnya tidak banyak yang saya ingat tentang masa silam saya. Tidak seperti sesetengah orang yang masih bercerita tentang masa silam mereka secara terperinci. Ingin sekali saya berbuat demikian tetapi tidak banyak memori yang terakam. Agaknya mungkin kerana perjalanan hidup saya yang agak mendatar pada masa itu menjadikan tiada peristiwa menarik untuk dikenang. Walau bagaimanapun saya akan cuba merakamkan dalam bentuk literasi apa-apa yang saya ingat sekarang ini kerana yang ada itupun juga mungkin akan terpadam jua sedikit masa lagi.
Seingat saya, rumah kami terdiri dari 4 bahagian. Ibu rumah, ruang tengah, dapur dan pelantar. Ibu rumah itu merupakan rumah asal yang dibina oleh almarhum Tok Wan Tok Lebai Hussin sekitar tahun 1953. Berukuran lebih kurang 18' X 16' ia adalah ruang utama; tempat menerima tetamu, tempat kami belajar dan menyiapkan kerja sekolah dan tidur juga di situ. Mengikut cerita emak tok wan mengambil masa hampir setahun untuk menyiapkan rumah tersebut yang upahnya dibayar sedikit-sedikit dan pukalnya dengan membeli lembu untuk dibuat kenduri perkahwinan Chu Teh ( adik emak ).
Ibu rumah tersebut walaupun dibina dengan bahan binaan dari hutan tetapi sangat kemas buatannya kerana almarhum tok wan seorang tukang yang mahir. Berdasarkan cerita-cerita dari mulut emak, almarhum tok wan bukan sekadar seorang tukang, juga orang seni ( seniman ). Almarhum tok wan mengambil bahagian dalam pameran-pameran yang diadakan oleh jabatan-jabatan kerajaan pada ketika itu. Masa itu orang kampung panggil 'show'. Tok wan pernah membuat replika rumah melayu, replika aktiviti pertanian ( kini dikenali sebagai diorama ) dan mendapat perhatian dan pujian orang ramai. Beliau mengambil masa berhari-hari menyiapkan satu-satu kerja tangannya itu. Suatu ketika pada tahun 1978 saya pernah ke rumah seorang kawan di Kg.Gelugur, Sedim. Ketika di rumahnya, bapanya telah bertanya dan saya memperkenalkan diri sebagai cucu Lebai Hussain dan orang tua itu terus menceritakan yang masjid dan rumahnya juga hasil kerja tok lebai Hussain. Ketika menyiapkan rumahnya, almarhum tok wan dijemput sebagai tukang jemputan selama 10 hari bagi mengemas dan mencantikkan bahagian-bahagian tertentu dan rumahnya kukuh berpuluh tahun lamanya. Saya bangga memperkenalkan diri sebagai cucunya !
Tiang ibu rumah kami adalah dari kayu bulat yang ditebang sendiri oleh almarhum ayahanda Hashim dari kawasan hutan sekitar Bukit Hijau sebelum tamat perkhidmatan sebagai Special Constable SC di Ladang Pelam ( Malau ). Di Kg. Padang Ubi hanya ada beberapa buah rumah sahaja yang bertiang bulat. Tiang tersebut tahan hingga ke hari ini. Beberapa belas tahun yang lalu, ada seorang tukang rumah yang bertanya saya jenis kayu yang dibuat tiang itu. Saya mengaku, saya tak tahu. Kayunya lembut, bewarna kekuning-kuningan seperti kayu halban tetapi tidak dimakan anai-anai atau reput dimakan air. Kata tukang tersebut hanya tukang yang benar-benar kenal jenis kayu sahaja yang memilih kayu itu kerana mudah dikerjakan dan tahan lama. Selepas bertanya kepada beberapa orang tua di kampung barulah saya tahu yang kayu itu dari pokok 'serai' ( sebut : e taling )
Ruang tengah buatannya agak ringkas. Di sini kami guna untuk mengaji dan mengajar Al-Quran. Juga sebagai tempat tidur. Tidur ketika itu tidak bertilam hanya beralas tikar mengkuang dan sebiji bantal sahaja. Itupun sudah cukup membuatkan tidur nyenyak sampai ke pagi. Antara cucur atap ibu rumah dan ruang tengah ada palung air. Palung air ini yang sering menjadi masalah setiap kali hujan lebat. Air akan mencurah masuk ke dalam rumah menyebabkan tempat mengaji kami kebasahan.
Seperkara yang kekal ke akhirnya ialah kain pelapik tiang ( warna, putih, kuning dan merah ) antara kayu alang dengan tiang. Itu mengikut adat orang dulu-dulu mendirikan rumah. Saya sudah tidak ingat mengapa pilihan warna tersebut tetapi pernah mempelajarinya semasa di maktab dulu.
Dapur agak sempit. Ruang dapur dengan ruang tengah pisahkan oleh bendul. Dari situlah saya belajar mengenal peribahasa 'betul bentul' dan 'langkah bendul' semasa di sekolah rendah. Seperti dapur-dapur rumah kedah, mesti ada para. Para ini tempat meletak buyung ( labu ) air minuman, dan suaut yang menjadi kesukaan saya pada masa itu ialah naik duduk di atas para itu senyap-senyap sambil membancuh air gula dan meminumnya puas-puas dan paling sedap gula lebihan bancuhan yang lembik itu. ( nasib baik tak kena diabetis pada masa tu ).
Pelantar pula ialah ruang lantai tidak berdinding yang menjadi tempat meletak tempayan atau baldi berisi air yang diangkut dari telaga untuk kegunaan pada waktu malam. Pelantar juga menjadi tempat membuat kerja-kerja kasar seperti menyiang ikan, merendam baju dan sebagainya.
Binaan rumah kami agak tinggi ; setinggi 4 kaki lepas untuk menyimpan basikal dan berteduh ketika hujan. Walau bagaimanapun awal tahun 1970-an rumah tersebut telah diangkat sedikit lagi kira-kira 1 1/2 kaki lagi bagi membolehkan pembinaan dapur simen yang baru.
Rumah kami mengalami beberapa kali pengubahsuaian dan saya kira paling kerap diubahsuai berbanding dengan rumah-rumah lain di Kg.Padang Ubi.
Di halaman rumah ada sebatang pokok rambutan yang buahnya agak besar tetapi kurang manis. Pokok tersebut dibiarkan di situ sebagai tempat berteduh dan dengan pasir halaman yang memutih, di situlah menjadi berbagai gelanggang kami. Dari acara piala thomas, all england, pesta bola merdeka hinggalah 'sukan olimpik Munich German' semua berlangsung di situ. Satu pusingan rumah dikira sama dengan satu pusingan stadium. Di belakang rumah ada sebatang pokok nangka dan di bawahnya terdapat pasir yang tebal. Di situlah menjadi gelanggang padang seperti long jump, triple jump, shot put dan high jump. Memang sejak dulu kami menyebut acara-acara tersebut dalam bahasa inggeris. Sebab itulah kot acara olimpik boleh dijalankan di situ.
Tiada yang kekal di dunia ini kerana yang kekal hanyalah Zat Allah SWT sahaja. Begitulah rumah kami meski saya berusaha mempertahankannya, namun masa dan keadaan menentukan sebaliknya. Saya terpaksa melepas nostalgia masa silam demi tuntutan semasa. Saya perlu realistik saya tidak terus hidup dalam nostalgia. Pada Januari 2008 ibu rumah kami terpaksa dikorbankan.

4 comments:

  1. semoga roh mereka dicucuri rahmat..Al-fatehah

    ReplyDelete
  2. Suatu catatan perjalanan hidup yang menarik. Bagaimana pun masih terdapat beberapa fakta yang belum disentuh. Contohnya: Fasa pembesaran rumah diera awal 70an melibatkan pembinaan beranda depan dgn tangga simen. Beranda disiapkan oleh almarhun Tok Siak Jusoh sebagai persiapan kenduri menerima menantu. Beranda kayu bagaimanapun tidak dapat bertahan lama dan tidak dpt menandingi kekukuhan rumah-ibu kerana cepat reput, dan akhirnya dirobohkan. Juga, sessi memindahkan telaga dari tepi paya ke dlm rumah melibatkan banyak kenangan pahit manis sehingga mendapat bekalan air paip pada awal 80an. Bagaimanapun, secara keseluruhan suatu catatan yg berkesan dan mengembalikan nostalgia..........

    ReplyDelete
  3. ini baru percubaan nak buat bersiri. ada banyak lagi yang perlu dirakamkan supaya tidak hilang di telan masa.

    ReplyDelete
  4. ini lagenda ni.. cukup sentimental :)

    ReplyDelete