Total Pageviews

Thursday, March 24, 2011

Pengajaran dari peristiwa Al Quran 'hilang'


Pada tiga minggu yang lalu saya telah menyampaikan tazkirah tentang amalan yang mudah kita lakukan. Ada sesetengah orang mampu melakukan amalan solat sunat yang banyak. Ada sesetengahnya mampu memberikan sedekah yang banyak dan ikhlas. Namun jika kita tidak mampu melakukan kedua-duanya, kita boleh memperbanyakkan amalan membaca Al-Quran. Banyak sekali hadis yang menerangkan tentang kelebihan membaca al-Quran ini.

Allah S.W.T. Yang Maha Pemurah memberi pahala yang amat besar kepada orang yang membaca Al-Quran, tiap-tiap satu huruf ada pahalanya dan tiap-tiap satu ayat pun ada ditentukan pahalanya yang tidak sama antara satu dengan yang lain.

Pahala tiap-tiap huruf Al-Quran dijelaskan dalam sebuah Hadis dari Ibnu Masud r.a dari Rasulullah s.a.w:

Daripada Ibnu Masud r.a telah berkata bahawa Rasulullah s.a.w telah bersabda/;
Barangsiapa membaca satu huruf daripada Kitabullah maka baginya satu kebajikan dan setiap kebajikan sepuluh kali gandanya. Aku tidak mengatakan Alif Laam Miim satu huruf tetapi Alif satu huruf, Lam satu huruf dan Mim satu huruf.

Pada hari ini sebagai sambungan tazkirah yang lalu, saya ingin membawa kembali peristiwa Al-quran ‘hilang’ yang berlaku sekitar tahun 1985 dulu. Seluruh negara gempar apabila orang ramai menjumpai beberapa naskah al-quran telah hilang beberapa ayat atau surah daripada naskah al-quran milik mereka. Bukan al-quran baru tetapi sebaliknya al-quran yang telah dibaca sekian lama pun turut mengalaminya. Reaksi para pemimpin negara mengatakan al-quran tersebut mungkin ‘tersalah cetak’ ( printing error). Orang ramai tidak dapat menerima alasan tersebut kerana mereka telah khatam berkali-kali al-quran tersebut.

Ekoran peristiwa tersebut, beberapa orang pensyarah Fakulti Pengajian Islam UKM termasuk Prof.Dr.Harun Din ( sekarang Datuk ) telah mengambil inisiatif mengumpulkan naskah al-quran tersebut di dalam negara hingga ke selatan Thailand.

Dalam satu majlis di masjid UKM Bangi orang ramai berpusu-pusu datang untuk melihat sendiri naskah al-quran tersebut. Saya sendiri yang berada dalam jarak dekat dengan Prof. Dapat melihat bagaimana helaian-helaian naskah al-quran terbut yang dikatakan hilang itu. Prof.Harun Din menerangkan bahawa jika dikira kesemua jumlah ayat-ayat yang hilang itu, ianya berjumlah sebuah al-quran. Adalah itu tandanya al-quran telah hilang dari umat Islam ?

Beliau juga menceritakan bagaimana semasa usaha mereka mengumpul naskah tersebut sehingga ke selatan Thailand, berlaku satu peristiwa di salah sebuah pondok di sana apabila Tuan Guru pondok tersebut mengimamkan solat Sajadah pada pagi Jumaat telah terlupa ayat tersebut, sedangkan surah Sajadah tersebut adalah ayat yang sangat lazim mereka baca pada pagi Jumaat. Pelajar-pelajar pondok yang menjadi makmum di belakang imam juga boleh terlupa ayat tersebut hinggakan tiada seorang pun makmum yang boleh menyambungkan ayat tersebut. Begitulah misterinya peristiwa tersebut. Apakah ini tanda-tanda al-quran telah ditarik daripada ingatan umat Islam ?

Peristiwa tersebut telah berlaku 25 tahun yang lalu. Jangka masa lama dalam ukuran masa manusia, tetapi dalam kiraan waktu Allah SWT mungkin ianya sedetik Cuma.

Beberapa siri bencana yang berlaku sejak akhir-akhir ini memberi gambaran kepada kita yang umur dunia sedah semakin tua. Pada tahun lalu sahaja Pusat Pengesan Gempa Bumi di Tokyo merekodkan lebih 1200 kali gegaran berlaku. Ini meyakinkan kita yang usia planet bumi ini sudah semakin menghampiri penghujungnya. Segala cakerawala ini akan berlanggar sesama sendiri dan kehancuran akan berlaku.Apakah ini tanda-tanda hayat dunia ini dipenghujungnya ? Surah Al Waqiah menerangkan :

[1]
Apabila berlaku hari kiamat itu,
[2]
Tiada sesiapapun yang dapat mendustakan kejadiannya.
[3]
Kejadian hari kiamat itu merendahkan (golongan yang ingkar), dan meninggikan (golongan yang taat).
[4]
(Ia berlaku) semasa bumi bergoncang dengan sebenar-benar goncangan.
[5]
Dan gunung-ganang dihancur leburkan dengan selebur-leburnya,
[6]
Lalu menjadilah ia debu yang bertebaran.

Ibrah ( pengajaran ) untuk para pelajar sekalian, kita tidak boleh berhenti belajar, bekerja dan melakukan kebaikan meski kita tahu kiamat akan berlaku. Semua mesti diteruskan. Saya masih teringat maksud hadis yang diulang berkali-kali oleh Prof. Dr.Harun Din dalam majlis di masjid UKM pada malam itu. Maksud hadis tersebut menyebut, sekiranya seseorang itu hendak menanam biji kurma dan dia terdengar bunyi tiupan Sangkakala ( alamat kiamat sudah dekat ), jangan berhenti menanam, teruskan juga menanam biji tersebut walaupun kita pasti kita tidak akan dapat memakan buahnya nanti. Nabi menyuruh kita teruskan usaha kerja kebajikan dan jika ditakdirkan kita mati, kita akan mati ketika sedang melakukan kebajikan.

Teruskanlah membaca al-quran kerana al-quran itu akan memberi syafaat kepada kita di akhirat kelak.

Sekian.

( Tazkirah ini sampaikan kepada pelajar-pelajar dan guru-guru SMK Labu Besar pada pagi 24 Mac 2011. )

No comments:

Post a Comment