Total Pageviews

Thursday, March 24, 2011

Apa yang ditanam, itulah yang dituai


Pengumuman keputusan SPM semalam melengkapkan siri penantian para calon peperiksaan awam. Dalam banyak-banyak peperiksaan, peperiksaan SPMlah yang paling ditunggu-tunggu. Pengetua, guru-guru, PIBG, ibu bapa, kaum keluarga dan yang penting sekali pelajar calon peperiksaan itu sendiri. Debaran, rasa cemas, risau dan senak mual yang ditahan berminggu-minggu terlerai sudah. Semua bentuk perasaan itu adalah normal. Tanyalah pada sesiapa pun yang pernah menduduki peperiksaan, pasti akan pernah mengalaminya. Mungkin pada sesetengah orang, menunggu hari menduduki ujian berkomputer JPJ pun sudah cukup menyenakkan.

Para pelajar dan calon peperiksaan sering mengadu kerisauan mereka semasa detik menunggu keputusan. " tak tau la, macam mana result nanti. fail ke, lulus ke, ada credit ke, lulus saja ke, boleh dapat A+ ke." itulah antara pertanyaan debaran menunggu keputusan peperiksaan. Berdebar tu memang berdebar, tetapi sebenarnya pelajar atau calon peperiksaan sudah tahu keputusan bagaimana yang akan diperolehnya nanti. Masakan tidak! Apa yang anda tanam, itulah yang anda tuai ! Mana mungkin padi yang semai, jagung yang akan dituai.

Sebelum menduduki peperiksaan sebenar, pelajar telah menduduki beberapa siri ujian dan peperiksaan. Peperiksaan penggal, peperiksaan percubaan, ujian bulanan, ujian topikal, latih tubi soalan tahun-tahun lepas, semua ini adalah hampir sama dari segi darjah kesukarannya. Jika anda mampu menjawab ujian-ujian tersebut , pasti anda akan mampu menjawab soalan peperiksaan sebenar.

Amat jarang pelajar yang tidak pernah lulus dalam ujian atau peperiksaan akan terus melonjak mendapat gred A dalam peperiksaan sebenar. Saya bertanya kepada beberapa orang pelajar yang baru saja mengambil keputusan peperiksaan SPM semalam, ada tak dalam kalangan pelajar yang dipanggil naik ke atas pentas untuk menerima slip keputusan daripada pengetua, terdiri yang menerima keputusan semua A terdiri dari pelajar yang tidak disangka-sangka? Mereka menjawab " tiada ". Semua yang naik ke pentas itu terdiri daripada pelajar-pelajar yang memang sudah dijangka. Pendek kata keputusan peperiksaan sebenar tidak jauh berbeza dengan keputusan sebelum-sebelumnya.

'Passing marks' saja yang mungkin berbeza antara peperiksaan tersebut. Di sekolah biasanya menggunakan markah lulus yang standard ( 30 / 35 / 40 / 45 )bergantung pada sesetengah sekolah, sedangkan markah lulus peperiksaan awam berubah-ubah mengikut tahap kesukaran soalan. Sebab itu lebih ramai calon 'terperanjat' mendapat keputusan yang lebih baik daripada calon yang 'terkejut' mendapat keputusan yang lebih 'teruk'.

Pengajaran kepada pelajar-pelajar yang akan menduduki peperiksaan pada tahun ini, supaya membuat persediaan awal , kerana kita sendiri yang menentukan apa yang akan kita tuai nanti.

No comments:

Post a Comment