Total Pageviews

Saturday, March 26, 2011


Panduan 3A untuk ibu bapa

Ramai ibu bapa muda tercari-cari bagaimanakah perlu mereka mendidik anak-anak mereka. Keazaman untuk memberikan yang terbaik untuk anak-anak sangat tinggi. Oleh itu para ibu bapa disarankan untuk memberikan pendidikan atau tumpuan pada ketiga-tiga bidang ini serentak. Kegagalan memberikan didikan dalam ketiga-tiga bidang ini menjadikan anak-anak membesar secara tidak seimbang dari segi IQ dan EQ. Apakah ketiga-tiga aspek didikan tersebut?

A – Agama :

Awalludin makrifatullah ( awal mengenal agama ialah mengenal Allah ). Itulah yang diberitahu kepada kita sejak sekian lama. Seawal usia, anak-anak perlu diajar untuk mengenal Allah, Rasul, dosa pahala, syurga neraka dan lain-lain lagi agar mereka sedar akan kuasa Allah SWT dan kerdilnya manusia.

Dalam konteks pendidikan hari ini, memang kita dapati sambutan ibu bapa untuk menghantar anak-anak belajar ilmu agama sememangnya tinggi. Bermula dengan didikan tidak formal di dalam buaian, pergi ke Pusat Asuhan Islam, ke Sekolah rendah Agama atau setidak-tidaknya sukatan pelajaran agama di sekolah-sekolah harian sudah memadai. Jadi, di mana silapnya?

Pada pandangan saya hal ini kerana tiada kesinambungan antara pendidikan formal dan tidak formal di rumah. Lain yang diajar di sekolah, lain yang anak-anak lihat dipraktikkan di rumah.

A – Akhlak:

Seakan ada kolerasi antara orang beragama dengan orang berakhlak. Akhlak adalah penghayatan ilmu agama, ditambah dengan adat tatasusila masyarakat. Kesan penjajahan yang kuat menjadikan umat Islam tidak menghayati akhlak Islam kerana mereka meletakkan Islam di satu tempat dan perlakuan di tempat yang lain.

Tugas para ibu bapa menerapkan ilmu agama tadi ke dalam bentuk tingkahlaku. Apa yang dibolehkan oleh agama itulah yang dilakukan, dan apa yang dilarang oleh agama, itulah yang patut ditinggalkan. Dari sekecil-kecil perkara seperti adab ke tandas, makan, tidur, bercakap dengan orang tua dan sebagainya mestilah mengikut tatacara yang telah sedia ada di dalam Islam. Bukankah Islam agama syumul ( lengkap ) ?

Aspek akhlak ini boleh dikategorikan sekarang ini sebagai aspek EQ ( Emotional Quotient / Kecerdasan Emosi ). Anak-anak diajar sedari kecil untuk menggunakan ‘hati’ dalam tindakan mereka.

A – Akademik :

Bidang akademik lebih memberi tumpuan pada mengajar anak-anak menggunakan ‘otak’ mereka ( IQ ). Tidak hairanlah ramai ibu bapa muda berlumba-lumba menghantar anak-anak ke pusat-pusat pembelajaran dan tuisyen semata-mata untuk anak mereka ‘score’ dalam pelajaran mereka. Ramai juga yang menghantar anak-anak ke ‘smart readers’ lebih awal daripada mengajar membaca al-quran.

Kemampuan menggunakan otak sangat bagus untuk anak-anak meneruskan kelangsungan hidup mereka. Mereka menjadi ‘BIJAK’ dalam usia yang masih muda. Bagus. Tetapi para ibu bapa perlu ingat bahawa tumpuan pada satu aspek sahaja sebenarkan menjurus ke arah kehancuran masa depan anak-anak itu sendiri. Masakan tidak, anak-anak yang diasak dengan akademik dari usia muda akan mengalami kelompongan dalam hidup mereka. Sampai ke suatu masa mereka sudah tidak boleh bertahan lagi dan mereka mencari alternatif yang lebih dahsyat yang tidak terfikir oleh ibu bapa. Apa nak dihairankan, bukankah kemampuan otak mereka tinggi ?

Kesimpulannya para ibu bapa perlu mendidik anak-anak secara berpatutan. Keseimbangan ketiga-tiga aspek yang disebutkan itu penting . Mungkin ibu bapa mahu mencapai tahap kecemerlangan yang tinggi tetapi secara rasionalnya yang manakah yang lebih diingini kecemerlangan dalam satu bidang atau keseimbangan dalam hidup?

Back to basic; sebaik-baik pekerjaan adalah yang sederhana.

No comments:

Post a Comment