Tahun ini
tahun 2015 sudah 31 tahun saya berkerjaya sebagai seorang pendidik. Kerjaya saya
bermula 2.1.1984 apabila sesi persekolahan tahun tersebut bermula. Tarikh
tersebut juga saya melapor diri kepada Encik Solehan Remot Guru Besar
Sek.Men.Sungai Rawang , Sepang. Ketika itu perasaan saya bercampur baur.
Apa tidaknya
saya meninggalkan seorang anak saudara perempuan berusia 4 tahun yang sedang
sakit tenat dan bertarung dengan maut ketika itu. Saya sendiri mencari berbagai
ubatan dan berjumpa dengan berbagai tokoh perubatan tradisional untuk membantu
mengubatnya. Saya menangis di atas motosikal ketika meninggalkan rumah dan
kampung halaman. Bukan sedih kerana meninggalkan ayah dan mak serta kampung
halaman ( kerana saya telah biasa meninggalkan mereka semua sejak saya tinggal di
asrama sekolah dan maktab. Sedih kerana mengenangkan anak saudara yang sakit
tenat.
Dari kampung
saya di Labu Besar, Kulim saya bertolak ke stesen keretapi Bukit Mertajam untuk ke Kuala Lumpur. Dari KL
saya menunggang motosikal ke rumah abang di Pelabuhan Klang. Keesokannya abang
membawa saya ke Sepang untuk meninjau sekolah dan mencari rumah sewa untuk
ditumpangi. Malangnya saya sampai waktu petang, tiada sesiapa di kawasan
sekolah dan kebetulan masih dalam cuti sekolah jadi saya pulang hampa pada
petang itu.
Keesokannya
dengan menunggang motosikal saya meninggalkan rumah abang di P.Klang untuk ke
SM Sg.Rawang dan ketika sampai saya bertemu dengan beberpa orang guru lama di
sekolah tersebut seperti Kamarudin Wok ( skrg PK HEM di sekolah agama di Bandar
K.Kangsar ), Sharif Sarmin ( skrg. Pengetua SMK Kubu Gajah Selama Perak )
sdr.Surani Radiyo ( PT sekolah ) dan cikgu Radzi ( allahyarham ).Mereka
membenarkan saya menumpang rumah sewa mereka sementara mendapatkan rumah sewa
yang baru. Bagaimanapun saya kekal
menyewa bersama-sama mereka selama setahun sebelum berpindah ke Kg.BT. 4
Sg.Pelek dan memberi laluan kepada guru-guru yang baru bertukar ke SMSR
seperti cg.Nasir ( dari MPPPP ) Cg.Sardi
( pindah dari Sabah – skrg.Pensyarah di Institut Pendidikan Islam Bangi ) cg Amir Adli dan Amir ( ? dari Kapit Sarawak )
Guru baru
penyapu baru ( itu kata-kata Cg.Solehan semasa membentangkan kertas kerja
peningkatan prestasi akademik bertajuk “ Apa kami buat di Sg Rawang” di sekolah
menengah Teluk Datuk ) ekoran peningkatan prestasi akademik yang di tinggi di
dalam peperiksaan awam. ( Kertas kerja tersebut saya simpan dan bawa balik ke
Kedah – malangnya hilang dalam simpanan )
Majoriti
guru-guru Sg Rawang ketika itu adalah guru-guru baru lepasan maktab ( first
posting ) penuh semangat dan tenaga pun banyak sebab tu apabila cg Solehan bari
cadangan untuk buat sesuatu semuanya disahut.
Tugasan
pertama yang saya dapat selepas beberpa hari melapor diri ialah menyediakan 4
buah goal post hoki kerana sekolah menjadi tuan rumah kejohanan peringkat daerah.
Sebenarnya saya hanya biasa bermain hoki tetapi tidak pernah ambil kisah
tentang undang-undang dan peraturan. Bermula dengan membeli kayu dan papan dari
kedai hardware di kg. Ulu Chuchoh siang malam kami menyiapkannya. Sambil-sambil
bertukang tiang gol itu jugalah saya membuat sebuah katil bujang untuk kegunaan
saya sendiri. ( tahan lama juga )
Saya sangat
terhutang budi dengan Cg.Solehan kerana sebagai ketua beliau tidak kedekut ilmu
dan sentisa mengajak kami ‘bekerja bersama-samanya’. Yang saya ingat beberapa
hari sahaja melapor diri di SMSR, saya telah mengikut Pengetua ke mesyuarat
MSSD dan SMSR dipilih menjadi Pengerusi teknik pertandingan hoki daerah.
Masalahnya ketika itu SMSR tidak mempunyai goal post hoki. Berbekalkan sedikit
pengalaman bermain hoki saya dan beberapa orang guru lain telah membuat 2 set
goalpost ( 4 unit ) untuk kejohanan
tersebut. Masa tu belum ada internet
jadi nak cari ukuran padang pun siksa juga. Pengalaman saya bermain hoki saja
tak pernah ambil tahu pula ukuran padang hoki.
Sampai
masanya kejohanan berlangsung dan saya menjadi empire untuk beberapa
pertandingan. Ketika berlangsung pertandingan bawah 12 tahun ( sekolah tak
ingat ) , tiba-tiba ada guru di luar padang mengadu pemain salah satu pasukan
yang bertanding lebih seorang. Sedangkan sebelum memulakan pertandingan sebagai
empire, saya telah mengira jumlah pemain dan cukup 11 orang. Entah masa bila
pemain ‘hantu’ ini masuk bermain. Panik juga ketika itu tapi nasib baik
Pertandingan hoki mempunyai 2 orang empire dan kami berbincang sebelum
mengambil tindakan mengarahkan pemain hantu tersebut keluar padang.
Seperkara
lagi ‘kerja gila’ yang saya dapat pengalaman di Sg.Rawang ialah projek membuat
hadiah sukan untuk kejohanan olahraga
sekolah pada tahun itu. Berhari-hari kami guru-guru menyiapkan piala tersebut
di bengkel seni perusahaan. Itulah pengalaman pertama dan terakhir kerana
selepas itu tidak ada lagi orang yg sanggup buat kerja begitu. Hasilnya sangat
berbaloi. Kalau tak salah saya bajet yang dijimatkan pada tahun tersebut telah
digunakan untuk membeli seunit computer menjadikan SMSR sekolah pertama yang
memiliki computer di daerah k.Langat Sepang.
Satu lagi
idea hebat Cg.Solehan ialah projek membuat jentera mesin rumput bagi
menggantikan mesin sorong yang digunakan oleh tukang kebun ketika itu ( Wak
Ibrahim Sajadi, Wak Jais, Wak Torsiman, Wak Bajuri dan seorang lagi yang telah
berpindah ke Kelantan ) Kisah Ciptaan ini telah disiarkan di dalam akhbar. ( sesiapa
yg masih menyimpan keratan akhbar tersebut bolehlah kita kongsi semula ).
No comments:
Post a Comment