Sebagai Naib Pengerusi JKuasa Surau Raudatul
Ikhwan Kampung Padang Ubi, ada beberapa
masalah yang saya cuba atasi. Antaranya masalah kebersihan surau. Walau
bagaimanapun pengurusan surau ini berbeza sedikit dengan pengurusan masjid yang
mempunyai sumber pendapatan tetap dan petugas ( siak ) yang dibayar elaun.
Dalam mesyuarat AJK baru-baru ini saya telah mencadangkan
supaya dicari seorang petugas untuk melakukan kerja-kerja pembersihan secara
berkala dengan sedikit bayaran saguhati. Surau tidak mampu membayar elaun tetap
kerana surau tidak mempunyai sumber kewangan yang tetap seperti masjid. Sumber
yang ada hanyalah derma orang ramai dari semasa ke semasa sahaja.
Saudara Md Zaki selaku bendahari telah menemui Puan Hamidah
Che Din seorang ibu tunggal yang tidak mempunyai pekerjaan tetap dengan jumlah
tanggungan yang masih ramai untuk membantu melakukan kerja-kerja pembersihan.
Beliau bersetuju dan faham dengan penerangan Md Zaki. Saya lega apabila
diberitahu akan hal itu kerana pada saya sekurang-kurangnya pihak surau dapat
membantu meringankan sedikit kesusahan hidupnya.
Selepas itu setiap kali saya ke surau menunaikan solat saya
dapati sudah ada peningkatan kebersihan . Tahi cicak, sawang, sampah, susunan
sejadah sudah nampak bersih dan teratur. Malah sejadah yang sudah sekian lama
digunakan telah dibasuh bersih. Alhamdulillah.
Saudara Md Zaki telah ke rumahnya untuk menyampaikan
saguhati sebanyak RM 100.00 tetapi ditolaknya dengan beberapa alasan. Saudara
Md Zaki berlalu pergi meninggalkan sejumlah wang tersebut. Beberapa hari
selepas itu saudara Md Zaki telah ke rumah puan Hamidah sekali lagi untuk
urusan lain. Beliau diminta tunggu sekejap di luar dan Puan Hamidah masuk ke
dalam rumah dan keluar semula dengan menyampaikan semula wang kertas RM100.00
tersebut. “ambillah wang ini, bukan kakak sombong tak mau menerima pemberian,
tapi kakak rasa tenang setiap kali kakak membersihkan surau. Tambahan pula
selepas kakak membersihkan surau tempuh hari jiran kakak telah menawarkan kakak
untuk menoreh di kebun getahnya. Alhamdulillah. Kakak syukur sangat-sangat.
Lagi pun kakak memang menerima barang-barang dapur pemberian Pejabat Zakat”.
Hal ini diberitahu oleh saudara Md Zaki kepada saya. Saya
gumam sebentar. Saya sedar belaiu memang mendapat barangan keperluan asas
tetapi beliau juga memerlukan sedikit wang tunai untuk keperluan lain. Ahhhh
rupa-rupanya ‘orang-orang kecil’ tidak haloba wang seperti ‘orang besar’.
Sedikit sudah disyukuri. Allahhuakhbar.
Saya telah meminta saudara bendahari sampaikan juga
sumbangan kepada beliau mengikut keperluannya.